Undang Yang Empat Undang_(Negeri_Sembilan)

Secara tradisinya, Undang adalah Raja Melayu dalam jajahannya yang dikenali sebagai luak atau luhak. Pemilihan dan pelantikan Undang dilakukan oleh oleh Dato'-Dato' Lembaga di dalam sesebuah luak itu mengikut adat yang diamalkannya.

  • Dato' Undang Luak Sungai Ujong dipilih mengikut Adat Perpatih Ketemenggungan di antara Waris Hulu dan Waris Hilir yang berpusat di Mukim Pantai, Seremban dan penyandangnya digelar Dato' Klana Petra. Pemerintahan Dato' Undang Luak Sungai Ujong sudah bermula sejak tahun 1760 dengan pemilihan Dato' Klana Petra Bador daripada Waris Hulu sebagai Undang yang pertama.
  • Dato' Undang Luak Jelebu dipilih antara tiga keluarga waris Undang iaitu Waris Ulu Jelebu, Waris Sarin dan Waris Kemin secara bergilir. Penyandangnya dikenali sebagai Dato' Mendulika Mentri Akhirulzaman. Pemerintahan Undang Jelebu wujud pada tahun 1757 dan Undang Jelebu yang pertama ialah Dato' Moyang Salleh selepas memperoleh kemerdekaan daripada Kesultanan Johor.
  • Dato' Undang Luak Johol dipilih dengan ditentukan daripada Waris Johol dan Waris Gemencheh dan memakai gelaran Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan. Undang Johol yang pertama ialah seorang wanita bergelar Puteri Kanun atau Puteri Setiawan dan mula memerintah pada tahun 1723.
  • Dato' Undang Luak Rembau dipilih secara bergilir antara Waris Biduanda Jawa dan Waris Biduanda Jakun. Penyandang pusaka Undang Rembau daripada Waris Biduanda Jakun dikenali sebagai Dato' Lela Maharaja, manakala penyandang daripada Waris Biduanda Jawa pula dikenali sebagai Dato' Sedia Raja. Undang Rembau yang pertama ialah Dato' Seri Rama yang mewujudkan pemerintahannya di Kampung Kota, Rembau pada tahun 1540, iaitu ketika Sultan Johor yang pertama, Sultan Alauddin Riayat Shah II berkuasa.